Warna 1   Warna 2   Warna 3      
msen
A- A A+

Banggol Setol, Pasir Mas: 28 Feb - Pengarah Yayasan Islam Kelantan, YM Hj. Engku Rajhan b. Engku Ismail mengadakan pemantauan ke sekolah-sekolah YIK yang telah dinaiki air sejak semalam. Pemantauan ini adalah bertujuan untuk memastikan semua kelengkapan dan peralatan sekolah berada dalam keadaan terkawal. Dalam tinjauan ke SMU (A) Khairiah Banggol Setol, Pasir Mas, beliau menasihatkan pengetua agar mengambil langkah berjaga-jaga menjaga keselamatan harta benda sekolah dan sentiasa membuat pemantauan sepanjang musim banjir ini. Selain itu, keperluan pelajar yang akan menghadapi peperiksaan SPM yang akan bermula pada 3 Mac ini juga perlu disemak dari semasa ke semasa.

Menurut Pengetua SMU(A) Khairiah Banggol Setol, Pasir Mas, Ust. Asri b. Mat Zain, pihak sekolah telah mengambil langkah memindahkan dewan peperiksaan dari tingkat bawah ke tingkat atas dan semua susun atur kerusi meja telah diselesaikan. Sementara itu, Pengetua Maahad Muhammadi Rantau Panjang, Ust. Pauzi b. Yusof yang ditemui di Lubok Jong, Pasir Mas berkata pihak sekolah tidak sempat untuk memindahkan peralatan dan kelengkapan bilik darjah memandangkan banjir kali ini disifatkan luar jangka dan tidak seperti kebiasaan pada tahun-tahun sebelumnya. Air yang naik secara mendadak menyukarkan pihak sekolah untuk mengemas dan memindahkan kelengkapan ke tingkat atas, katanya.

Laluan untuk ke Maahad Muhammadi Rantau Panjang telah ditutup di persimpangan Lubuk Jong, Pasir Mas, begitu jalan yang menghubungkan Pasir Mas ke SMU (A) Al-Falah Siram, Pasir Mas dan SMU (A) Diniah Bongor, Pasir Mas juga tidak dapat dilalui oleh kenderaan. Turut serta dalam lawatan pemantauan ini, Timbalan-timbalan Pengarah Yayasan Islam Kelantan.

Kompleks Pentadbiran YIK, Tunjong: 13 Feb – YM Pengarah Yayasan Islam Kelantan Hj. Engku Rajhan b. Engku Ismail melancarkan pertandingan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) antara zon pada 13 Februari 2022. Pertandingan ini adalah sebahagian daripada aktiviti Jawatankuasa Promosi untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman terhadap pelaksanaan EKSA dalam persekitaran dan ruang kerja kakitangan. Program ini juga untuk memenuhi keperluan pengauditan EKSA peringkat negeri yang akan diadakan pada 21 Mac 2022.


YM Pengarah dalam ucapannya menyentuh tentang keperluan untuk pelaksanaan EKSA di pejabat YIK adalah sebagai usaha untuk menjadikan ruang kerja dan suasana pejabat yang lebih menarik, ceria dan cantik. Menurutnya, Yayasan Islam Kelantan telah disenaraikan antara jabatan yang sepatutnya telah melaksanakan program ini sejak 2 tahun yang lalu, walaubagaimana pun pihak YIK telah membuat permohonan penangguhan daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri sehingga perpindahan ke pejabat baru ini selesai sepenuhya.


Beliau juga turut mengharapkan agar semua kakitangan dapat memberi kerjasama yang terbaik dan mematuhi aspek-aspek pengauditan yang telah digariskan dalam panduan EKSA untuk membolehkan Yayasan Islam Kelantan dianugerahkan Sijil EKSA dalam pengauditan yang akan dilaksanakan nanti.
Pertandingan ini merangkumi 7 kategori termasuk Ruang Kerja Terbaik, Zon Terbaik, Tandas Terbaik, Bilik Pegawai Terbaik, Sudut EKSA Terbaik, Sudut Go Green Terbaik dan terakhir ialah Kreativiti dan Inovasi Terbaik.


Dalam majlis yang sama, taklimat berhubung kaedah penilaian dan pemarkahan juga telah diadakan sebagai panduan, selain itu, penerangan mengenai aspek-aspek auditan juga telah diperincikan bagi memastikan semua pegawai dan kakitangan mematuhi ketetapan persijilan EKSA.
Hadir sama dalam majlis pelancaran berkenaan, Timbalan-timbalan Pengarah, Penolong-penolong Pengarah, Pegawai-pegawai dan kakitangan Yayasan Islam Kelantan.

Kota Bharu:  9 Feb - Yayasan Islam Kelantan menyantuni 91 guru yang telah menamatkan perkhidmatan dalam satu majlis penuh meriah yang berlangsung di Hotel Perdana, Kota Bharu. Majlis Ramah Mesra Pengarah Bersama Alumni YIK ini bertujuan memberi penghargaan kepada jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan kepada institusi pendidikan agama di bawah Yayasan Islam Kelantan.

Program yang julung-julung kali diadakan dalam sejarah YIK ini melibatkan penyertaan guru dan kakitangan yang telah menamatkan perkhidmatan mulai 1 Januari 2021 sehingga 31 Januari 2022. Sebahagian dari mereka ini meninggalkan perkhidmatan kerana bersara wajib, bersara pilihan, sebab-sebab kesihatan atau pun menceburi bidang dan profesion baru.

YM Pengarah YIK dalam ucapannya menegaskan bahawa beliau mengambil perhatian khusus untuk meraikan guru-guru dan dapat memberi penghargaan terhadap komitmen yang telah mereka sepanjang berada di bawah bumbung Yayasan Islam Kelantan, YIK juga katanya, cuba menyelesaikan semua bayaran yang berkaitan seperti Gantian Cuti Rehat (GCR) dan Ganjaran Perkhidmatan kepada guru-guru yang tidak berjawatan tetap. Meskipun tanggungan yang besar dengan omulumen bulanan sudah mencecah hampir RM100 juta, kebajikan guru-guru tetap akan diutamakan, ujarnya.

Dalam pada itu, YIK sedang memperhalusi cadangan untuk mewujudkan skim baru yang dinamakan Skim Jawatan Tetap Bercarum. Skim ini pada dasarnya adalah sama dengan skim jawatan tetap sedia ada, kecuali pencen yang digantikan dengan caruman KWSP.

Majlis ini mendapat sambutan amat positif dari semua peserta dan berharap  program seumpama ini dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang. Setiap peserta mendapat cenderamata kenang kenangan dan berpeluang bergambar bersama team pengurusan Yayasan Islam Kelantan. Rata-rata peserta melahirkan rasa terharu dengan majlis keraian ini dan mengucapkan terima kasih terhadap keprihatinan YIK.

Kursus Kepimpinan dan Pengurusan Penolong Kanan Yayasan Islam Kelantan telah diadakan pada 9 Januari hingga 13 Januari tahun 2022 bertempat di Sektor Sumber Teknologi Pendidikan (SSTP) Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Port Dikson Negeri Sembilan. Kursus ini dianjurkan bersama Yayasan Islam Kelantan dan Institut Latihan Darul Naim(ILDAN) dengan kerjasama Institut Aminudin Baki(IAB).

Majlis Perasmian Kursus Kepimpinan dan Pengurusan Penolong Kanan Yayasan Islam Kelantan telah berlangsung pada jam 9.30 pagi di bilik Kuliah 1.

Majlis dimulai dengan Ucapan Aluan Yang Berusaha Ustaz Hj. Zulkifli Yusof, Timbalan Pengarah ILDAN. Beliau mengucapkan terima kasih kepada YM Pengarah YIK kerana sudi hadir untuk merasmikan program. Beliau juga merakamkan penghargaan kepada pihak IAB yang telah memberi kerjasama dalam menjayakan program ini.

Majlis kemudiannya menjemput Yang Berusaha Encik Azwan Zainudin Ketua Jabatan Kurikulum & Kokurikulum IAB. Beliau menyatakan IAB akan sentiasa membantu mana-mana institusi pendidikan untuk laksanakan program pengurusan kepimpinan.

Majlis diakhiri dengan ucapan perasmian oleh YM Tuan Haji Engku Rajhan bin Engku Ismail. Beliau menyatakan kesyukuran kepada Allah dengan limpah rahmat dariNya program dapat dilaksanakan. Beliau berharap agar semua peserta dapat manfaatkan peluang dan kesempatan di sini bagi meningkatkan profesionalisme masing-masing. Beliau juga berharap agar semua peserta dapat laksanakan pengurusan lebih baik, lebih efisien dan dapat keluar dari kepompong tradisi.

Majlis diakhiri dengan sesi bergambar bersama YM Pengarah, Pensyarah IAB, urusetia program dan peserta seramai 61 orang terdiri daripada 31 orang guru lelaki dan 30 orang guru perempuan dari sekolah-sekolah Yayasan Islam Kelantan.

Grand Renai, Kota Bharu: 23 Disember, Seramai 193 pelajar yang menamatkan hafazan 30 juzuk Al-Quran telah diraikan pada Majlis Graduasi Tahfiz bagi tahun 2020 di Hotel Grand Renai Kota Bharu. Para huffaz ini terdiri daripada 45 orang dari  Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Pulai Chondong,  26 orang dari Maahad Tahfiz Al-Quran Banggol Chicha Pasir Mas, 57 orang dari Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah, 5 orang dari  Maahad Tahfiz Sains Bustanul Arifin, 38 orang dari Kolej Tahfiz Sains Nurul Aman Kok Lanas, 4 orang pelajar dari  Maahad Tahfiz Sains Al Muhammadi Nipah Bachok, 11 orang dari SMU(A) Tarbiah Diniah Tahfiz Bunut Sarang Burung Tumpat, 12 orang dari SMU(A) Al Kauthar Peringat dan 2 orang dari Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Saadah Lil Banat, beta Hulu.

Majlis kali ke 11 itu telah disempurnakan perasmian oleh YAB. Ustaz Dato’ Bentara Kanan Dato’ Haji Ahmad bin Yakob, Menteri Besar Kerajaan Negeri Kelantan. Majlis yang diadakan secara tertutup dengan pematuhan SOP yang ketat dihadiri oleh pelajar dan ibubapa lebih 600 orang. Dalam ucapannya YAB Dato’ menaruh harapan yang besar kepada generasi muda untuk menghidupkan Al-Quran dalam negeri yang tercinta ini dan menjadi penerus kepada penjunjung al Quran pada masa hadapan. Benih yang ditanam pada hari ini pasti subur mewangi di tanah rendah sekebun bunga ini ujarnya.

Acara tahunan yang tertunda ini pada lazimnya diadakan pada setiap awal tahun, namun akibat pandemik yang melanda program anugerah 2020 diadakan pada tahun 2021.  YAB Dato’ Bentara Kanan Menteri Besar diberi penghormatan mengetuai perarakan akademik bersama YB Dato Timbalan Menteri Besar, YB Dato' Exco Pendidikan, Ahli-ahli Lembaga, Pengetua-pengetua Tahfiz serta pegawai-pegawai Yayasan Islam Kelantan.

BERHUBUNGI DENGAN KAMI

FacebookTwitterFlickrYoutube

PENAFIAN:

Yayasan Islam Kelantan tidak bertanggungjawab terhadap apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat atau daripada kecacatan atau kesilapan kandungan di dalam laman web ini.

KEMASKINI PORTAL

  • Dikemaskinikan pada : 05 Mei 2024.
© Yayasan Islam Kelantan 2024

Search

KELGOV PPST
Penerbitan YIK
Arkib

Dasar Privasi