Warna 1   Warna 2   Warna 3      
msen
A- A A+

Kota Bharu: 02 Dis, Team A Yayasan Islam Kelantan muncul juara dalam Kejohanan Badminton Piala Pengarah YIK yang berlangsung pada 2 Disember 2021 di Dewan Persatuan Badminton Kelantan Telipot. Kejohanan ini melibatkan penyertaan dari semua sekolah YIK mengikut zon masing-masing melibatkan hampir 200 orang peserta. 

Team A yang diketuai oleh YM Pengarah YIK menghadapi cabaran getir dari 14 pasukan mengikut kategori dan berjaya mengatasi halangan untuk meraih johan keseluruhan. Naib Johan dimenangi oleh Pasukan Machang manakala tempat ketiga dan keempat jatuh kepada Pasukan Tumpat dan Pasukan Rantau Panjang. Kejohanan kali ini menawarkan hadiah lebih istimewa berbanding dengan kejohanan yang diadakan sebelum ini, di mana Johan akan membawa pulang sebuah piala pusingan dan wang tunai RM1500.00, manakala naib johan menerima hadiah wang tunai RM1000.00, tempat ketiga dan keempat pula masing-masing menerima wang tunai RM500.00. Pihak urusetia juga menyediakan saguhati RM100.00 untuk setiap pasukan.

Program riadah peringkat YIK ini yang bermula dari jam 8.30 merupakan sebahagian dari aktiviti untuk merapatkan hubungan ukhuwwah dan meningkatkan semangat kesukanan di kalangan pentadbir dan guru-guru, selain itu ia juga merupakan salah satu wasilah untuk mengekalkan kesihatan diri secara berkumpulan.

Terdahulu, YM Pengarah YIK dalam ucapan perasmiannya menaruh harapan yang tinggi agar program seumpama ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan dan menjadi platform untuk generasi muda dan generasi veteran saling kenal mengenali antara satu sama lain, selain itu beliau mengingatkan untuk semua peserta dapat mematuhi arahan Kementerian Kesihatan Malaysia dengan SOP yang telah ditetapkan dan jangan terlalu leka dengan sedikit kelonggaran yang telah diberikan.

Sementara itu, pihak urusetia yang diwakili oleh Penolong Pengarah Ko-Kurikulum, Tuan Haji Azman bin Hussin berpuashati dengan perjalanan kejohanan kali ini dan tahap pematuhan SOP yang baik dari kalangan peserta, beliau juga mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada pasukan YIK yang bekerja keras untuk memastikan piala pusingan kejohanan kembali semula ke pangkuan Yayasan Islam Kelantan.

Kuala Lumpur:  Pengarah Yayasan Islam Kelantan, YM Engku Rajhan b. Engku Ismail mengadakan kunjung hormat kepada Kaunselor Islam Kedutaan Arab Saudi, Syeikh Abdul Rahman Ar Rubai’an pada 1 Disember 2021. Kunjungan ini adalah bertujuan untuk merapatkan hubungan kerjasama pembangunan pendidikan antara YIK dan Kaunselor Islam.

Hubungan yang sedia terjalin ini perlu diperkukuhkan dengan bertukar-tukar bidang kemahiran bagi memperkasakan mutu penguasaan pendidikan Islam dan Bahasa Arab. Sebelum berlakunya penularan wabak COVID-19, menjadi kelaziman Kaunselor Islam mengadakan kursus peningkatan bahasa Arab kepada guru-guru, selain dari turut membekalkan mushaf al-Quran dan bahan-bahan bacaan kepada pelajar-pelajar Yayasan Islam Kelantan, malah pernah membekalkan 37,000 naskhah Al Quran untuk diagihkan kepada semua sekolah-sekolah Yayasan Islam Kelantan.

YM Pengarah Yayasan Islam Kelantan merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak kaunselor khususnya Syeikh Abdul Rahman Ar Rubai’an yang menerima kunjungan dengan penuh mesra dan menyumbang cenderahati untuk program Graduasi Tahfiz tahun 2020. Hadir sama dalam kunjungan berkenaan Timbalan Pengarah Akademik, Hj. Mohd Zaki b. Deraman dan Timbalan Pengarah Kenaziran, Hj. Sukeri b. Hussin.

Kota Bharu - Pengurus Bank Islam Kawasan (Pantai Timur), Pn. Rosmawati Mohamed Zin  telah menyampaikan sumbangan zakat Bank Islam sebanyak RM 50,000.00 kepada Yayasan Islam Kelantan pada 28 November 2021. Sumbangan ini diterima oleh YM Pengarah Yayasan Islam Kelantan, YM Engku Rajhan b. Engku Ismail   dan akan disampaikan di dalam bentuk bantuan kepada para pelajar fakir dan miskin.

Antara rombongan Bank Islam yang hadir ialah Pn. Nurol Ain Abg Latip (Pengurus Consumer Negeri), Pn. Wan Rusmayaty Wan Hussin (Pengurus Deposit Negeri), En Sulaima Mohd Zin (Pengurus Cawangan K.Kerian dan Wan Hawari Wan Mohamed (Pengurus Deposit). Turut hadir Sama  daripada Timbalan Pengarah Pengurusan YIK, Hj. Shamsul b. Abu Bakar, Timbalan Pengarah Sekolah, Hj. Che Kamarudin Kamel b. Che Muhammad, Timbalan Pengarah Akademik, Hj. Mohd Zaki b. Deraman dan Akauntan En .Mohd Yulfaisal bin Mat Yusoff.  Majlis berlansung di Bilik Mesyuarat Utama Yayasan Islam Kelantan.

KOTA BHARU, 30 September - Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri Kelantan yang diadakan pada 29 September 2021 telah bersetuju membenarkan Yayasan Islam Kelantan memulakan operasi sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara bersemuka bagi pelajar Tingkatan 6 (STAM) bermula 10 Oktober 2021 (Ahad).

Sehubungan dengan itu, YIK telah memanjangkan surat pemakluman kepada Sekolah-sekolah yang terlibat serta langkah-langkah perlu berkaitan persediaan untuk menerima kehadiran pelajar pada tarikh berkenaan.

Pihak sekolah terbabit perlu mematuhi sepenuhnya SOP yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

YIK juga mengadakan satu taklimat berkaitan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah secara dalam talian kepada para pentadbir sekolah terlibat pada 4 Oktober 2021 sebagai langkah melengkapkan persediaan untuk memulakan operasi PdP secara bersemuka.

Kompleks Pentadbiran YIK, Tunjung, 08 Julai - Keputusan Peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU)bagi tahun 2020 sekolah-sekolah Yayasan Islam Kelantan meningkat kepada 96.50 peratus berbanding 92.17 peratus pada tahun 2019. Keputusan peperiksaan berkenaan telah diumumkan pada 8 Julai 2021 oleh Pengarah YIK, YM Hj. Engku Rajhan b. Engku Ismail di Lobi Bangunan Pentadbiran Yayasan Islam Kelantan Tunjung.

Sekolah yang mencapai keputusan cemerlang adalah Maahad Sains Tok Guru, Pengkalan Chepa dengan pencapaian Gred Purata Sekolah (GPS: 1.01) mewakili Maahad Kawalan. Bagi kategori Maahad Pilihan, Maahad Muhammadi Perempuan Pasir Pekan mendahului sekolah-sekolah lain dengan (GPS:1.59). Maahad Syamsul Maarif Perempuan pula mewakili Maahad Kerajaan dengan pencapaian (GPS:1.65). Dalam kategori SMU(A), pencapaian tertinggi diperolehi oleh SMU(A) Tarbiah Diniah (Tahfiz) Bunut Sarang Burung, Tumpat (GPS:1.59). Sementara untuk kategori SABK, pencapaian terbaik adalah SMU(A) Tarbiah Islamiah Kuala Kajang (GPS:1.45). Sekolah-sekolah berkenaan mencatatkan pencapaian 100%.

SENARAI SEKOLAH CEMERLANG MENGIKUT KATEGORI SEKOLAH : 

1-  Maahad Kawalan - Maahad Sains Tok Guru, Pengkalan Chepa - 100% /  Gred Purata Sekolah (GPS: 1.01)

2- Maahad Pilihan - Maahad Muhammadi Perempuan Pasir Pekan - 100% / Gred Purata Sekolah (GPS: 1.59)

3- Maahad Kerajaan - . Maahad Syamsul Maarif Perempuan Pulai Chondong - 100% / Gred Purata Sekolah (GPS: 1.65).

4- Sekolah Menengah Ugama (Arab) SMU(A) - SMU(A) Tarbiah Diniah (Tahfiz) Bunut Sarang Burung, Tumpat - 100% / Gred Purata Sekolah (GPS:1.59)

5- Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) - SMU(A) Tarbiah Islamiah Kuala Kajang - 100% / Gred Purata Sekolah (GPS:1.45)

Dari sudut pencapaian sekolah dengan kelulusan penuh, sebanyak 47 buah sekolah mencatatkan keputusan 100 peratus yang terdiri dari 14 buah Maahad, 10 buah SMU(A), 13 buah SABK dan 10 buah sekolah swasta yang menyertai peperiksaan SMU dari dalam dan luar negeri Kelantan.

YM Pengarah YIK dalam satu kenyataannya mewakili Lembaga Peperiksaan YIK mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat menjayakan agenda memperkasakan pendidikan di negeri ini khususnya pendidikan agama di sekolah-sekolah YIK serta mengingatkan agar terus mengembeling usaha untuk sentiasa maju ke hadapan dengan kejayaan yang lebih cemerlang pada masa akan datang.


Agihan keputusan kepada pengetua telah dilaksanakan dengan pematuhan SOP yang ketat melalui kaedah pandu lalu dan dalam pecahan pengagihan yang kecil bagi mengurangkan risiko penularan COVID-19 pada masa ini. Arahan juga dikeluarkan kepada semua pengetua untuk membuat agihan keputusan peperiksaan berkenaan di peringkat sekolah secara maya atau serahan fizikal melalui penghantaran tanpa melibatkan aktiviti bersemuka.

BERHUBUNGI DENGAN KAMI

FacebookTwitterFlickrYoutube

PENAFIAN:

Yayasan Islam Kelantan tidak bertanggungjawab terhadap apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat atau daripada kecacatan atau kesilapan kandungan di dalam laman web ini.

KEMASKINI PORTAL

  • Dikemaskinikan pada : 05 Mei 2024.
© Yayasan Islam Kelantan 2024

Search

KELGOV PPST
Penerbitan YIK
Arkib

Dasar Privasi