Warna 1   Warna 2   Warna 3      
msen
A- A A+

KOTA BHARU, 15 Jun - Kakitangan Yayasan Islam Kelantan mula menerima suntikan pertama vaksin COVID-19 mulai hari ini dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bertempat di Dewan Teratai Kota Darul Naim, Kota Bharu. Program anjuran Jabatan Kesihatan Negeri ini diadakan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan menyasarkan semua kakitangan dari agensi dan jabatan kerajaan dari 134 agensi dan jabatan untuk menerima suntikan seperti yang telah ditetapkan. Program Outreach Vaksinasi COVID-19 ini merupakan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sementara untuk agensi/jabatan kerajaan dan media.

Pengarah YIK, YM Hj. Engku Rajhan b. Engku Ismail turut sama hadir menerima suntikan pertama pada hari ini bersama kakitangan yang lain dan beliau berharap agar Program Outreach Vaksinasi ini dapat membantu mempercepatkan proses penerimaan vaksin dalam kalangan penjawat awam khususnya guru dan kakitangan YIK, memandangkan mereka merupakan antara golongan yang mudah terdedah kepada jangkitan COVID-19 terutamanya sewaktu melaksanakan tugas PdP secara bersemuka dan dalam pengendalian program-program yang melibatkan pelajar dan masyarakat di samping itu ia dapat membantu meningkatkan kelompok imuniti.

Dalam perkembangan lain, guru-guru dan kakitangan sekolah YIK juga telah mula menerima suntikan vaksin mengikut daerah masing-masing, antaranya Jajahan Tumpat, Pasir Puteh, Kota Bharu dan beberapa jajahan lagi.

Bersama-sama kita membantu kerajaan dalam memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

LINDUNG DIRI, LINDUNG SEMUA.

93 Buah Sekolah YIK Terima Sumbangan Peralatan ICT Dengan Peruntukan Hampir 0.5 Juta

Kompleks Pentadbiran YIK, Tunjung : 31 Mei - Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi Negeri Kelantan YB Dato' Dr Mohamed Fadzli bin Dato' Hj Hassan hari ini telah merasmikan Majlis Penyerahan Peralatan ICT Untuk PDPR Sekolah-Sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK) Secara Pandu Lalu dan Melancarkan Buku Garis Panduan Wabak Covid-19 di Asrama Sekolah YIK kepada pengetua-pengetua dan guru besar sekolah Yayasan Islam Kelantan.

Sebanyak 47 buah sekolah terlibat dalam program berkenaan yang terdiri daripada 42 buah Sekolah Menengah Ugama SMU(A) Bantuan Kerajaan, 3 buah Maahad Kerajaan di jajahan Jeli dan Gua Musang dan 2 buah tadika Yayasan Islam Kelantan.

Pengagihan fasa kedua yang akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat melibatkan sebanyak 46 buah sekolah Yayasan Islam Kelantan.

Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan sebanyak RM498,573.00 untuk peralatan-peralatan ICT di sekolah-sekolah Yayasan Islam Kelantan yang diagihkan secara berperingkat di mana pelaksanaan Fasa pertama pada hari ini kepada 47 buah sekolah dengan kos sebanyak RM211,000.00.

Antara peralatan yang dibekalkan ialah Komputer Riba, Mikrofon, Pemancar Paparan Hablur Cecair (LCD), Skrin Paparan Hablur Cecair 6x6 Tripod, Pembesar Suara, Penyampai Tanpa Wayar, Pad Menulis Untuk Komputer Riba, FonKepala, Kamera Web dan Penyesuai Antaramuka Multimedia Definisi Tinggi (HDMI) kepada Tatasusunan Grafik Video (VGA).

Dengan sumbangan ini pihak kerajaan menaruh keyakinan tinggi agar para pengetua sekolah dapat menggunakan kemudahan yang disediakan untuk melicinkan proses PdPR secara dalam talian. Di samping itu dapat membantu pihak sekolah menambahbaik kemudahan teknologi pendidikan untuk meningkatkan mutu pendidikan sesuai dengan keperluan semasa.

Turut sama dalam program ini, YM Pengarah Yayasan Islam Kelantan Haji Engku Rajhan Engku Ismail, Timbalan-timbalan Pengarah YIK dan pegawai-pegawai Yayasan Islam Kelantan dengan pematuhan terhadap SOP Covid-19 yang ketat.

YIK Lancar Buku Garis Panduan Pengurusan Wabak Covid-19 di Asrama Sekolah YIK

Kompleks Pentadbiran YIK, Tunjung : 31 Mei  2021 -  Asrama sekolah merupakan tempat yang berpontensi berlakunya penyebaran penyakit. Para pelajar yang berada semestinya menggunakan fasiliti yang sama dan ini merupakan salah satu faktor berlakunya jangkitan yang cepat dikalangan penghuninya.

Di negeri Kelantan, peningkatan kes COVID-19 meningkat secara mendadak di sekolah-sekolah berasrama yang telah mewujudkan beberapa kluster baru dan beberapa buah sekolah telah diistiharkan Peraturan Kawalan Pergerakan Diperketat(PKPD).

Menyedari hakikat tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi Negeri Kelantan YB Dato' Dr Mohamed Fadzli bin Dato' Hj Hassan hari ini telah Melancarkan Buku Garis Panduan Wabak Covid-19 di Asrama Sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK) kepada pengetua sekolah yang mempunyai asrama sekolah secara pandu lalu.

Buku Garis Panduan Pengurusan Wabak Covid-19 di Asrama Sekolah YIK diterbitkan oleh Yayasan Islam Kelantan dengan kerjasama Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina (PAPISMA) Cawangan Kelantan. Buku panduan ini diharap memberi kefahaman kepada seluruh warga sekolah YIK khususnya sekolah yang mempunyai asrama untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) mengikut norma baharu yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memutuskan rantaian Covid-19 khususnya dalam komuniti sekolah. Peranan penting yang harus diambil oleh pihak sekolah bermula daripada pengetua, guru, warden asrama, staf sokongan hinggalah kepada para pelajar sendiri.

Penyerahan buku garis panduan secara pandu lalu itu turut dihadiri YM Pengarah Yayasan Islam Kelantan Haji Engku Rajhan Engku Ismail dan pegawai-pegawai kanan Yayasan Islam Kelantan dengan pematuhan terhadap SOP Covid-19 yang ketat.

Taklimat khas UMi

KOTA BHARU-Yayasan Islam Kelantan telah mengadakan satu taklimat khas sempena Program UMI kepada semua kakitangan YIK. Taklimat khas berkenaan telah diadakan pada 25 Mac 2021, jam 2.30 petang dan bertempat di Bilik Gerakan Kompleks Pentadbiran Yayasan Islam Kelantan di Tunjong. Pengarah YIK, YM Engku Rajhan bin Engku Ismail telah dijemput untuk menyempurnakan program tersebut. Dalam program berkenaan telah dihadiri oleh semua kakitangan Yayasan Islam Kelantan termasuk pelajar pelatih industri.

Program UMI ini diadakan bertujuan untuk menerapkan serta mengamalkan konsep Ubudiyyah, Masuliyyah dan Itqan dalam diri semua kakitangan YIK. Sementara itu, majlis tersebut dimulakan dengan sesi ucapan yang disempurnakan oleh Ustaz Harun bin Ismail, selaku penolong pengarah Hal Ehwal Murid (HEM). Dalam ucapan penyampaian berkenaan, Ustaz Harun berkata, hasil dari pengauditan UMI, Yayasan Islam Kelantan telah mendapat markah yang terbaik dan memuaskan sekaligus beliau mengharapkan agar prestasi audit yang cemerlang dapat dikekalkan untuk sesi pengauditan akan datang. Dalam pada itu, semua kakitangan YIK juga dinasihatkan menjaga masa semasa bekerja.

Dalam majlis juga, YM Pengarah berbesar hati untuk menyampaikan sarung lengan kepada setiap kakitangan muslimat YIK dengan diwakili oleh setiap zon sebagai simbolik kepada program UMI tersebut. Dalam pada itu, telah diadakan juga sesi taklimat khas untuk semua kakitangan muslimat sahaja oleh Ustazah Sakinah binti Mohd Amin selaku Pegawai Dakwah dan Sahsiah dari Unit Hal Ehwal Murid. Dalam penyampaian taklimat berkenaan, beliau sangat menitikberatkan pemakaian yang menutup aurat dengan sempurna seperti galakan memakai sarung lengan, sarung kaki dan baju yang tidak ketat serta menampakkan bentuk tubuh.

KOTA BHARU : Yayasan Islam Kelantan secara rasminya telah melancarkan program Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) peringkat jabatan yang telah berlangsung pada 27 Rejab 1442H bersamaan dengan 11 Mac 2021. Pelancaran ini secara rasminya telah disempurnakan oleh YM Pengarah Yayasan Islam Kelantan, YM Engku Rajhan bin Engku Ismail bertempat di Bilik Seminar Tingkat 2, Blok A, Kompleks Pentadbiran Yayasan Islam Kelantan di Tunjong, Kota Bharu.

Majlis Pelancaran EKSA YIK bermula pada jam 11.00 pagi dengan taklimat khas yang disampaikan oleh fasilitator EKSA YIK, YBrs. Penolong Pengarah Khidmat Pengurusan, Hajjah Nur Azah binti Abdul Rahman dan YBrs. Penolong Pengarah Sumber Manusia, Jazlan bin Omar.

Sementara itu, YM Pengarah YIK dalam ucapannya berharap agar semua kakitangan YIK dapat meneruskan komitmen dalam tugasan masing-masing dan memainkan peranan yang tersendiri dalam memastikan matlamat EKSA YIK dapat mencapai sasaran yang telah ditetapkan oleh jabatan.

Dalam majlis ini juga, YM Pengarah berbesar hati untuk menganugerahkan hadiah kepada pemenang Pertandingan Mencipta Logo EKSA YIK yang dimenangi oleh YBrs. Mohd Yulfaisal bin Yusoff, Akauntan YIK serta menyampaikan plat Dasar EKSA Yayasan Islam Kelantan kepada ketua-ketua Zon yang telah dilantik.

BERHUBUNGI DENGAN KAMI

FacebookTwitterFlickrYoutube

PENAFIAN:

Yayasan Islam Kelantan tidak bertanggungjawab terhadap apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat atau daripada kecacatan atau kesilapan kandungan di dalam laman web ini.

KEMASKINI PORTAL

  • Dikemaskinikan pada : 05 Mei 2024.
© Yayasan Islam Kelantan 2024

Search

KELGOV PPST
Penerbitan YIK
Arkib

Dasar Privasi