Warna 1   Warna 2   Warna 3      
msen
A- A A+

Kok Lanas, Kota Bharu : Yayasan Islam Kelantan buat pertama kalinya menganjurkan Mahrajan Memanah Recurve antara sekolah-sekolah Yayasan Islam Kelantan. Mahrajan bagi tahun 2022 ini telah diadakan pada 16-17 Syawal 1443H bersamaan 18-19 Mei 2022 melibatkan penyertaan pelajar lelaki dan perempuan.

Kejohanan yang dianjurkan oleh Yayasan Islam Kelantan dengan kerjasama dari Kolej Tahfiz Sains Nurul Aman Kok Lanas dan Maahad Muhammadi Tumpat telah diadakan selama 2 hari bertempat di padang Kolej Tahfiz Sains Nurul Aman.

Mahrajan ini antara lain adalah untuk mencungkil bakat pelajar Yayasan Islam Kelantan untuk mewakili negeri ke Mahrajan peringkat kebangsaan yang akan berlangsung pada bulan Jun nanti.

Maahad Sains Tok Guru telah menjuarai pasukan memanah berkumpulan lelaki, manakala pasukan memenah berkumpulan perempuan pula dimenangi oleh Maahad Muhammadi Perempuan. Johan individu dijuarai oleh Muhammad Naqib b. Hasyim dari SMU(A) Al Ulum Padang Embun (SABK), manakala dalam kategori individu perempuan dimenangi oleh Nik Nursyafiq bt Mohd Sanusi dari SMU(A) Nurul Ittifak Nering (SABK).

Sementara itu, Penolong Pengarah Kokurikulum Yayasan Islam Kelantan, Ust. Hj. Azman bin Hussin merangkap penasihat program dalam ucapannya, melahirkan rasa syukur di atas kejayaan mengadakan program mahrajan ini dan berharap kejayaan seterusnya akan terus menyusul di kejohanan peringkat kebangsaan nanti.

Manakala majlis penyampaian hadiah kepada pemenang pula telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Yayasan Islam Kelantan Tn. Hj. Shamsul Abu Bakar mewakili YM Pengarah, Hj. Engku Rajhan b. Engku Ismail.

Kota Bharu: 1 Jun -  Seluruh warga Yayasan Islam Kelantan mengucapkan Selamat Bertugas di Tempat Baharu kepada Hj. Shamsul b. Abu Bakar, mantan Timbalan Pengarah Pengurusan Yayasan Islam Kelantan setelah dilantik sebagai Pengarah Yayasan Kelantan Darulnaim mulai 1 Jun 2022.

Beliau yang mula berkhidmat dengan Yayasan Islam Kelantan mulai 1 Oktober 2020 mempunyai pengalaman perkhidmatan yang luas, antaranya pernah memegang jawatan sebagai Pegawai Masjid di Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, Pegawai Protokol dan Setiausaha Sulit Kanan kepada YAB. Menteri Besar. Beliau juga terlibat dengan Institut Tadbiran Awam Malaysia, INTAN Kawasan Timur sebagai tenaga pengajar dalam bidang perkhidmatan dan pentadbiran. Anak kelahiran Melor ini mempunyai misi dan visi yang sangat jelas dalam mengurus apa juga bidang perkhidmatan yang dipertanggungjawabkan.

Pihak Yayasan Islam Kelantan telah mengadakan majlis keraian dan perpisahan bertempat di Renai Hotel dengan kehadiran YM Pengarah dan juga pengurusan tertinggi YIK. Jutaan terima kasih atas segala curahan khidmat bakti selama tempoh berada di Yayasan Islam Kelantan dan kemafaan jua dipohon sekiranya terdapat sebarang kekhilafaan sepanjang bertugas. Dalam majlis yang sama, turut diraikan Dr. Nik Abdul Rahman Nik Yaacob, Pegawai Kurikulum YIK yang dilantik sebagai Timbalan Pengarah Institut Latihan Darul Naim (ILDAN) mulai 1 Jun 2022.

Kompleks Pentadbiran YIK, Tunjong: 28 Apr- Sempena ketibaan 1 Syawal 1443H, YM Hj. Engku Rajhan b. Engku Ismail, Pengarah YIK, telah menyampaikan perutusan khas hari raya untuk seluruh warga Yayasan Islam kelantan. Semua kakitangan mengenakan pakaian kebangsaan lengkap berbaju melayu, bersongkok dan sampin bagi lelaki manakala kakitangan wanita pula mengenakan pakaian yang sesuai dengan kemeriahan hari raya. Perutusan secara “live” dalam talian ini dapat diikuti oleh semua guru, kakitangan dan pelajar seluruh negeri Kelantan.

YM Pengarah dalam perutusannya mengharapkan agar semua warga kerja Yayasan Islam Kelantan dapat menyambut hari lebaran pada kali ini dengan penuh kesyukuran kerana negara berada dalam fasa peralihan endemik yang sudah membenarkan untuk aktiviti berkumpulan dan membuka ruang untuk kunjung mengunjungi antara satu sama lain. Beliau juga memberi penekanan untuk meneruskan semangat Ramadhan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai penjawat awam. Antaranya ialah menepati masa, berdisiplin dan sentiasa meningkatkan usaha untuk mencapai kejayaan yang lebih cemerlang. Sekiranya amalan-amalan ini dapat diteruskan selepas berlalunya Ramadhan, banyak isu-isu berbangkit dapat diselesaikan tanpa melibatkan penguatkuasaan peraturan yang ketat.

Dalam perutusan yang sama YM Pengarah dan isteri mengucapkan “Selamat Hari Raya” kepada semua kakitangan di ibu pejabat dan semua guru serta pelajar sekolah seluruh negeri Kelantan. Taqaballah minna wa minkum, semoga Allah menerima semua amalan yang kita laksanakan.

Kompleks Pentadbiran YIK, Tunjong: 18 Apr – Seramai 30 orang pelajar aliran tahfiz Yayasan Islam Kelantan berpeluang mengikuti taklimat yang diberikan oleh TWI Services Sdn. Bhd. Taklimat ini bertujuan untuk  memberi pendedahan fungsi syarikat di samping untuk mendapatkan calon pelatih dari sekolah-sekolah Yayasan Islam Kelantan, terutamanya pelajar lepasan pondok dan tahfiz yang tidak berhasrat untuk melanjutkan menyambung pelajaran pada masa hadapan. Melalui program ini, Pihak Sime Darby bersetuju untuk menaja pelatih-pelatih dalam kursus kimpalan berprestij selama 4 bulan yang berpengkalan di Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.Pelatih-pelatih ini akan ditawarkan pekerjaan secara terus sebaik sahaja menamatkan tempoh latihan yang ditetapkan. 

Hadir dalam talimat ini,  Dato’ Tengku Ainura bt. Dato’ Tengku Feisal, Pengurus Pembangunan Bisnes,  Mohd Marzuqi b. Mohd Dalim, Pengurus Program Kursus Kimpalan  dan Mohd Ghazale b. Hashim selaku Pengarah syarikat TWI Services Sdn. Bhd. Global Training and Technical Services.

Kompleks Pentadbiran YIK, Tunjong: 11 April, Seramai 158 orang Pengetua dan Kakitangan Yayasan Islam Kelantan menyertai Majlis Tadarus dan Ifthor yang diadakan di Bilik Gerakan Yayasan Islam Kelantan. Acara tahunan ini tertangguh sejak 2 tahun lalu akibat penularan wabak COVID-19 yang menghadkan pergerakan dan akvititi perkumpulan ramai serta majlis-majlis anjuran Kerajaan.

Sesi pembentangan ayat-ayat pilihan pada kali ini telah disampaikan oleh YB. Sahibul Samahah Dato’ Hj.Mohamad Shukri bin Mohamad Mufti Kerajaan Negeri Kelantan selepas solat Asar di tingkat 2 Mabna Taalim  Kompleks Pentadbiran YIK, Tunjong, manakala bacaan al Quran mujawwad pula diperdengarkan oleh Ustaz Yahya b. Daud, Penyelia Tahfiz Yayasan Islam Kelantan. Majlis Tadarus dan Ifthor ini juga turut disertai oleh semua kakitangan lelaki pejabat YIK di semua peringkat dan bahagian.

Dato’ Dr. Mohamed Fadzli b Dato’ Hj. Hassan, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi mewakili YAB Dato’ Bentara Kanan Menteri Besar menyampaikan amanat dalam majlis berkenaan. Majlis diserikan dengan kehadiran Syeikh Abdul Rahman Ibrahim Muhammad ar Rubay’an, Kauselor Islam Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur yang turut menaja program berbuka pada kali ini.

Turut hadir, YBhgia Dato’ Dr. Johari Mat, Pengarah Institut Pemikiran Tok Guru, Ustaz Muhamad Hana Fizi b. Abdullah Imam Besar Negeri Kelantan, dan YBrs Profesor Dr. Ab. Aziz b. Mohd Zin, Ketua Eksekutif Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra.

BERHUBUNGI DENGAN KAMI

FacebookTwitterFlickrYoutube

PENAFIAN:

Yayasan Islam Kelantan tidak bertanggungjawab terhadap apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat atau daripada kecacatan atau kesilapan kandungan di dalam laman web ini.

KEMASKINI PORTAL

  • Dikemaskinikan pada : 05 Mei 2024.
© Yayasan Islam Kelantan 2024

Search

KELGOV PPST
Penerbitan YIK
Arkib

Dasar Privasi